Tubuh yang sihat seharusnya diberikan penekanan yang penting kerana berkaitan dengan minda yang cergas. Namun, tak semestinya kesihatan tubuh itu dapat dilihat secara luaran kerana organ dalaman kadangkala tak memberi sebarang petunjuk atau isyarat bahawa ia memerlukan perhatian serta rawatan.
Seperti tiub fallopio, organ dalaman wanita yang berfungsi menghubungkan ovari dan rahim, yang mana telur wanita akan melalui saluran sepanjang kira-kira 10 sentimeter (cm). Tiada gejala atau tanda khusus dapat dilihat sekiranya berhadapan masalah, tetapi secara senyap boleh menjejaskan kesuburan wanita.
Dianggarkan hampir 30 peratus golongan wanita yang tidak boleh hamil berpunca dari tiub fallopio tersumbat atau kerosakan pada tiub.
Kebiasaannya, tiub fallopian tersumbat berpunca dari penyakit radang pelvik (PID). PID biasanya disebabkan oleh penyakit kelamin (STD)
Punca lain yang boleh menyebabkan tiub fallopio tersumbat termasuk:
▶️Endometriosis
▶️Fibroid
▶️Kehamilan ektopik (hamil luar rahim)
▶️Pernah jalani pembedahan bawah perut
▶️Jangkitan bakteria seperti chlamydia dan gonorrhea
Semua keadaan ini boleh menyebabkan penyumbatan tiub fallopio dengan menyebabkan pelekatan (adhesion), tisu berparut, tumor atau polip terbentuk di dalam laluan tiub. Tiub fallopio juga mungkin tersangkut ke bahagian lain dalam badan - pundi kencing, ovari, rahim, usus, dan lain-lain.
Tiub fallopio yang rosak boleh menjadi berpintal atau dinding tiub itu sendiri boleh melekat antara satu sama lain menyebabkan penyumbatan sepenuhnya.
Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr. Tee Swi Peng berkata, di dalam tiub ini, pergerakan sel telur melewati tiub dibantu oleh gerakan rambut-rambut kecil (silia) yang berada pada permukaan dalam saluran. Tugas silia ialah memerangkap telur untuk diarahkan ke rahim.
Oleh sebab itu jika tiub mempunyai sebarang halangan mengakibatkan telur tak boleh menuju ke rahim, juga sekiranya silia tak berfungsi untuk memerangkap telur untuk bergerak ke arah rahim. Dalam kedua-dua keadaan tersebut, wanita tak boleh hamil.
Tiub fallopio juga boleh rosak sekiranya wanita menerima jangkitan bakteria berpunca dari faraj menular hingga ke bahagian rahim dan tiub. Jangkitan bakteria seperti chlamydia dan gonorrhea mampu bertindak menghancurkan silia di dalam tiub atau menyebabkan tiub tersumbat.
Sekiranya sebelum ini pesakit pernah menjalani pembedahan, ada kemungkinan boleh merosakkan tiub seperti kehamilan di luar rahim yang dikenali sebagai ektopik.
Wanita mempunyai dua tiub fallopio dan kadangkala hanya satu sisi sahaja yang tersumbat atau mungkin kedua-duanya. Apabila tersumbat, ia membentuk banyak cecair dalam tiub yang dipanggil hydrosalphinx atau air dalam tiub.
Cecair ini sangat toksik dan apabila mengalir ke dalam rahim, boleh menyebabkan wanita sukar untuk hamil. Malangnya, tiada sebarang tanda-tanda awal untuk mengenali bagaimana kerosakan tiub telah berlaku.
Mereka mungkin mengesyaki mengalami kerosakan tiub jika sebelum ini pernah mengalami jangkitan pada pelvis atau pernah menjalani pembedahan seperti ektopik atau endometriosis
[ Sumber : Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr. Tee Swi Peng / Utusan Online ]
No comments:
Post a Comment